MERSING 8 April - Golongan generasi muda khususnya pelajar disaran lebih prihatin terhadap kebersihan alam sekitar dengan menjaga dan memelihara keindahan persekitaran agar ia terus dinikmati semua pihak pada masa depan.
Dekan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Masai, Dr. Khairanum Subari berkata, kesedaran tersebut amat penting dan ia perlu disemai dari sekarang.
"Apa yang kita mahukan adalah selain daripada cemerlang di dalam bidang akademik, setiap pelajar haruslah menanamkan satu sikap yang baik iaitu prihatin terhadap alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyertai Program Gotong-Royong Perdana dan Sayangi Pantai Kita bersama 140 penuntut UniKL di Pantai Air Papan di sini kelmarin.
Menurutnya, apabila persekitaran bersih, penduduk akan berasa selesa, namun jika dipenuhi sampah-sarap dan kotor, orang ramai pasti berasa jijik dan tidak selesa.
Sementara itu, penuntut Diploma Industri Logistik tahun pertama, Nurulhuda Esa, 24, berkata, program tersebut begitu bermakna baginya.
"Selain dapat menghidupkan semangat bergotong-royong sesama pelajar dan orang kampung, ia dapat merapatkan hubungan tanpa mengira darjat atau taraf," katanya.
Bagi penuntut Diploma Kejuruteraan Kualiti tahun pertama, Md. Zulhazhari Mat Junus, 23, program seumpama itu mampu memberi keinsafan kepadanya.
"Sekurang-kurangnya kita dapat merasakan betapa seksanya kerja sebagai pemungut sampah yang saban hari terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis sampah yang berbau busuk dan kotor," katanya.
Rakan sekuliah, Syakir Saaidi, 19, pula memberitahu, program seperti itu amat bermanfaat dan patut dijadikan amalan oleh sesiapa sahaja.
"Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya iaitu dari peringkat kanak-kanak dan golongan muda perlu memulakan sikap prihatin terhadap alam sekitar," katanya.
Pada program berkenaan, sebanyak 500 kilogram sampah berjaya dikutip oleh para peserta.
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan